Rabu, 26 Jun 2013

Bingkisan Hati Buat Teman .

Melihat sahabat - sahabat yang solehah, aku membandingkan diriku dengan mereka.

Bagai langit dan bumi . Terlalu jauh bezanya dalam banyak perkara.

Aku mahu menjadi seperti mereka. Solehah, bukan sekadar gelaran, tapi akhlaknya.


__________________________________________________



Teman, mohon maaf jika sepanjang kamu bersahabat dengan aku, aku tidak mampu membuatkan kamu mengingati Allah apabila memandang wajahku.

Teman, sepanjang aku bersahabat dengan kamu, aku minta maaf jika aku seolah-olah tidak menunjukkan kecintaanku padamu kerna kau tahu prinsip aku "Love is a verb, not a word"

Teman, mohon maafkan aku , kerna aku sering khilaf dan aku tidak pandai menjadi seorang sahabat yang baik. Hati aku keras barangkali.

Teman, acapkali aku mendengar ramai orang berkata padaku , yang aku kelihatan kuat, tabah. Tapi, ketahuilah, hidup aku tidak seceria hidupmu. Aku menanggung ujian yang berat, tapi cukuplah Allah tahu. Aku tidak kuat, tetapi 23 tahun aku hidup, kuatnya aku kerna Allah menghadiahkan, meminjamkan aku kekuatanNya.

Teman, terkadang marah dan ego menguasai diri, ketahuilah aku cuba menahan marah sedaya upayaku. Jika kau mahu berasa hati, silakanlah kerna aku tahu itu silapku.

Teman, jika kau membenci aku kerna banyaknya kelemahan dan kekuranganku, silakanlah,  aku layak dibenci kerna aku seorang pendosa.

Teman, maafkan aku jika aku tidak menjadi pendengar yang baik dan banyak contoh buruk yang kau dapati pada diriku. Ketahuilah, aku sang mujahidah yang sedang bermujahadah di jalanNya.

Perit sungguh mendidik hati. Maafkan aku, kalau terkadang aku buat tak endah, tidak mempedulikanmu. Ketahuilah, terkadang, aku mahu bersendirian beruzlah.

Teman, maafkan aku kalau aku menjadi asbab bertambahnya dosamu, berkurangnya pahalamu.


Teman, nasihati aku jika aku silap. Jika kau sayang, jangan diam bila melihat aku khilaf.

Teman, jika nanti kau berumahtangga, jadilah pasangan yang mithali yang membahagiakan pasangannya.

Teman, antara kita, tidak ada yang tahu , siapa yang akan kembali menemui Penciptanya terlebih dahulu. Aku mohon, jika aku pergi dahulu, titipkanlah doamu untuk aku di sana.

Teman, jika di sana nanti, kaki aku sudah melangkah ke neraka, aku mohon, tariklah tangan aku untuk ke syurga. 

Teman, hidup kita , coraknya tidak sama. Tidak semua rahsia aku kongsikan denganmu, dan aku tahu hidup kau juga begitu.. Aku, kelihatan keras luarannya, aku, kelihatan seperti tidak memahami orang lain, tapi ketahuilah walau aku begitu, aku mendoakanmu , teman .


Teman, aku bahagia jika engkau bahagia. Dan, engkau layak bahagia kerna engkau memang baik, hubungan dengan Allah dan manusia engkau jaga sebaiknya.

Teman, bila engkau sedih, aku minta maaf jika aku tidak berada di sisi untuk menyapu air matamu. Kerna aku tahu, kau punya hati yang tabah.

Teman, aku minta maaf kerna sepanjang bersahabat sangat sukar sekali mendengar aku menuturkan "aku sayang kamu" kerna diriku bukan begitu.

Dan, terima kasih kerna bersabar dengan kekuranganku dan kelemahanku.
Moga Allah melimpahkan pahala kesabaran kepadamu.

Dan, terima kasih kerna menjadi teman aku. Terima kasih, teman !

Cukuplah Allah menjadi saksi persahabatan kita.

Dan, ketahuilah, aku belum layak bergelar sahabat kerna masih banyak hak-hak yang tidak tertunai daripada aku untukmu.

Mohon maaf, jika kehadiranku dalam hidupmu menimbulkan banyak masalah .

Doakan aku, teman!



Nota hamba : Ya, buat siapa sahaja yang mengenali hamba dhaif ini, seinfiniti kemaafan saya hulurkan, mohon halalkan makan minum, ilmu dan apa sahaja yang kalian beri pada saya.



Rabu, 19 Jun 2013

Lemahnya Tetap Ada . Tetap Bertahan .

Api walau kelihatan kuat, tetap ada lemahnya.
Tanah walau kelihatan lemah, tetap ada kuatnya.

Api mampu dipadamkan dengan tanah yang basah.
Begitu juga dengan syaitan yang dicipta daripada api.

Kita dicipta dari tanah,maka basahkanlah hati dan lidah dengan zikir untuk memadamkan api syaitan yang menguasai kita.

"Dan Allah lebih mengetahui tentang musuh-musuhmu, cukuplah Allah menjadi pelindung dan cukuplah Allah menjadi penolong bagimu" [An-Nisa':45]



___________________________________________________


Nota hamba : Bersabarlah, mungkin itu fasa penyucian jiwa kita. Allah takkan uji kalau kita tak mampu.



Subhanallah, Allah memang hebat. Mencipta makhluk-makhluk sebegitu untuk menguji iman kita. Aqidah kena mantap! Pengalaman adik saya juga menjadi satu pengajaran berharga buat diri dia. Berubah daripada seorang penakut menjadi seorang pemberani.

Semua itu dengan izin Allah . 

Jumaat, 14 Jun 2013

Harapan, Sentiasa Ada Untuk Kita.

Langit cerah di bumi Terengganu . Moga hati kita secerah itu.
Namun, harus diingat, langit tidak selalunya cerah. Awan mendung pasti bertandang .


Begitu juga dengan hidup kita . Ada pasang surutnya . Ada suka dan duka. Ada tangis dan tawa.

Manusia mana yang tidak diuji? Ada yang mahu mendabik dada bahawa "aku tidak pernah diuji"?

Itu sombong namanya. Dan, ketahuilah mereka yang merasa tidak diuji itu sebenarnya sedang diuji. Diuji Allah dengan rasa angkuh.

Ujian itu pasti , dan atas tujuan itu kita hidup. Kita hidup untuk diuji.

Aku tahu, ujian, mehnah, tribulasi, letaklak nama apa sekalipun, itu pasti memenatkan.

Memang penat, memang letih . Dunia itu medan peperiksaan . Natijahnya, baik cemerlang atau tidak, ketahuilah keputusannya di sana kelak.

Dan, ketahuilah jiwa-jiwa yang letih, Allah tidak pernah meninggalkanmu .

Jika masih merangkak-rangkak menuju Dia, berusahalah agar bisa bertatih, berjalan dan terus berlari menuju Allah. Larilah ke dalam dakapan rahmat Allah .

Menangislah kerana, tangisan itu bisa meredakan hati. Sapulah air mata itu ke wajahmu, moga itu bisa menjadi penghalang dari api neraka.

Bersujudlah, berdoalah kerana Dia sering menantimu.

Allah, terima kasih kerna tidak pernah meninggalkan kami.

Hidup ini memang penuh dengan mehnah.

Memang penat, memang lelah!

Namun, pujuklah hati agar terus teguh

Jangan rapuh nanti kau ter"bunuh"

Kerana DIA tidak pernah zalim pada hambaNYA 

Sabarlah dalam bersabar, sabarmu itu memerlukan seribu lagi kesabaran!




Nota hamba : Waktu terus berjalan. Tik tok! Tik tok! Menghitung hari-hari terakhir sebelum menamatkan pengajian sebagai siswi Bumi Tarbiyah KUSZA-UDM-UniSZA.

Rasa lucu, pula apabila terkenangkan sahabat-sahabat yang suka merujuk soal BM kepada saya. Dalam hati "aku ni, macam orang dah kahwin  je"

Banyak pula khabar berita mengatakan ramai sahabat yang diuji dengan gangguan-gangguan makhluk halus. Allah, kuatkanlah mereka.




Jujur dari hati, 4 tahun di bumi tarbiyah tercinta ini, kenangan lebih banyak bersama sahabat-sahabat tarbiyah berbanding teman-teman sekelas. Namun, ada juga teman-teman kelas yang saya anggap sebagai sahabat.

Ah, bumi tarbiyah ini banyak memberi kenangan kerana di sini aku belajar tentang kehidupan.

Selasa, 4 Jun 2013

Do It For DUIT .


Dosa. Dosa. Dosa.

Aku pendosa. Dia pendosa. Kita pendosa. Mereka pendosa. 


Kita semua berdosa.


Jatuh, bangun. 


Dosa, taubat, dosa, taubat, dosa, taubat .


Tidak letihkah kamu, duhai jiwa ?


Jatuh ke lembah dosa , satu ujian.

Sama ada kita terus hanyut atau kembali pada Dia.

Terkadang, hati merintih tidak mahu kembali pada dosa yang sama, tetapi dek kalah dengan bisikan syaitan, kita terjerumus lagi.

Pandanglah dari sisi positif, mungkin dengan asbab dosa, air mata yang mengalir kerana rasa hinanya diri itulah yang Allah angkat.Dan, rahmat Allah tetap ada untuk kita. RahmatNYA lebih besar dari dosa-dosa kita.

Imam Syafie berkata : Dosa-dosaku kelihatan terlalu besar buat diriku, tetapi setelah kubandingkan dengan keampunanMU, ternyata keampunanMU jauh lebih besar.

Ujian juga menimpa seiring dengan turun naiknya iman kita.

Ujian yang Allah beri itu, kadang-kadang hati kita rasa tak sama, bergantung pada tahap iman.

Kalau iman tengah tinggi macam gunung, datanglah ujian besar macam mana sekalipun, kita boleh hadapi dengan tenang.

Kalau iman tengah lesu, ujian sekadar jentikan dari Allah pun, dah membuatkan kita tertunduk lesu, terduduk kaku.Rasa macam batu menghempap.


Dan, jangan sesekali membandingkan ujian kita dengan ujian orang lain.Sebab Allah kirimkan ujian mengikut iman kita. Alangkan saiz kasut, baju pun lain, apalagi hadiah tarbiyah dari Allah.

Dan, jika ditimpa ujian yang sama berulang kali, mungkin ini jawapannya.
"Allah akan hancurkan hati orang yang Dia sayang berkali-kali sehingga tiada harapan untuk dunia ini. Yang ada hanya harapan untuk Dia sahaja.Bagi yang mencari cinta Allah, bersedialah menerima hakikat ini" [Kalam Abd Qadir Jailani]



Buat dosa, sengaja atau tidak, taubat, taubat, taubat.

Dosa, Ujian, Iman, Taubat. Ada hubung kaitnya. 

DUIT .



___________________________________________

Melihat sahabat-sahabat yang hadir dalam hidup, buat saya bahagia. 

"Bersyukur kau dipertemukan dengan mereka."

Masing-masing menjaga hubungan dengan Allah, kecintaan yang sangat tinggi untuk Allah.

Subhanallah, sangat kagum dengan seorang sahabiah yang mahu menjadi hafizah , kerana katanya, dia mahu membantu ahli keluarganya di sana. "Kat dunia, bolehlah bantu dengan duit, kat sana nanti?"

Dan, bagaimana terharunya dengan kata-kata seorang yang hebat, membenarkan kesufian seorang sahabat saya .

Allahurabbi, gerak hati dan firasat orang mukmin sangat tajam, ditakuti dan dipercayai.

Sungguh, saya mahu dicintai dan mencintai orang-orang beriman walau tahu, diri ini tak layak duduk bersama mereka. Kerana, moga-moga dengan asbab itu, saya boleh berhimpun bersama mereka di syurga kelak.

“Aku cinta kepada orang-orang soleh padahal aku bukan termasuk dari golongan mereka. Barangkali aku boleh dapat syafaat dari mereka. Aku benci kepada orang-orang yang perdagangannya adalah maksiat-maksiat kepada Allah SWT. Walaupun barang-barang dagangan kita sama.”
(Imam Syafie)


Ya, saya mahu dicintai mereka.

"Bagaimanakah CARANYA untuk membuatkan diriku DICINTAI oleh seseorang..??

Ibnu al-Qayyim menjawab, " CINTAILAH ALLAH, nescaya ALLAH akan MENGHADIAHKAN seseorang yang juga MENCINTAI-NYA untuk DIRIMU." 




Nota hamba :

 "اللهم اني ظلمت نفسي ظلما كثيرا ولا يغفر الذنوب الا انت فاغفرلي من عندك مغفرة انك انت الغفور الرحيم

ya Allah, sesungguhnya aku telah banyak menzalimi diri sendiri dan tidak ada yang mampu mengampuni dosa melainkan Engkau, maka berilah ampunan kepadaku dar sisiMU, sesungguhnya Engkau Maha pengampun Maha Penyayang


Sabtu, 25 Mei 2013

Cincin Di Jari : Harga Sebuah Perkahwinan

Hidup ini tidak semudah yang disangka

Bukan macam petik jari, berbunyi.

Tahun akhir, seperti yang saya ulang sebelum-sebelum ini, sangat sinonim dengan "Baitul Muslim"

Segala puji bagi Allah, sudah ramai kawan-kawan baik yang sekolah rendah, sekolah menengah, dan matrikulasi juga universiti yang sudah bertunang dan bernikah.

Punya sahabat yang nikah awal membuatkan saya banyak berfikir berkenaan kehidupan selepas pernikahan.

Tidak indah seperti yang digambarkan, teman-teman. Bahkan, menanti kita ujian yang tidak pernah putus-putus. Tanggungjawab yang semakin bertambah, kerenah manusia yang pelbagai ragam.

Daripada cik kepada puan, hakikatnya menambah seribu satu tanggungjawab.

Menjadi isteri, ibu, menantu, ipar, ipar duai sekaligus menambah kita punya tanggungjawab.

Tapi, itu bukan alasan untuk kita tidak berbaitul muslim.



........................................................................................

Baru-baru ini berkongsi rasa dengan seorang sahabat yang telah menikah usai sahaja tamat pengajiannya.Pernikahannya mengejutkan saya sebenarnya kerana dalam diam-diam, berisi ^^.

Di sebalik keceriaannya, baru saya tahu dia menyimpan duka yang sangat dalam sehingga dia sudah tidak mampu menangis mengenangkan ujian yang Allah hadiahkan untuknya.

Sangat sukar untuk melihat wajahnya berduka, sentiasa ceria. Subhanallah, saya sendiri yang mendengar ceritanya, hati menjadi sebak yang teramat. Dalam hati "hati kau daripada batu,kah teman? ujian yang sangat dahsyat, kau hadapi dengan tenang?"

Dan, sebab ujian itulah dia memilih untuk menikah awal. Dan, saya sangat bersetuju dengan tindakannya mengambil jalan keluar dengan menikah. Alhamdulillah, suaminya soleh.

Pernah dia bercerita kisahnya di hadapan murabbi . Murabbi juga hairan "macammana enti boleh hadapi semua tu? Ana tak boleh nak bayangkan......"

........................................................................................

Teman, kalau kita rasa ujian yang Allah hadiahkan untuk kita ni berat, ketahuilah ramai lagi yang lebih berat ujiannya.

Sekarang ini, ramai sahabat yang diuji. Sehinggakan murabbi berkata " Apa sebenarnya yang Allah nak tunjuk kat kita ni?"

Pertemuan dengan murabbi bagai menyimbah hati yang kering. Melihat air mata mengalir saat dia bercerita betapa besarnya kurniaan Allah untuknya, hati saya sebak. "Bukan mudah nak tengok ustaz menangis".
"Ustaz, ustaz sangat dekat dengan Allah."

Katanya ketika bercerita "sebenarnya, tak baik,kan cerita macam ni. takut riak. Astaghfirullah. Tapi, sesama kita, takpe". Dia senyum.


....................................................................................

Satu perkara yang saya sedar, setiap orang yang bernikah, matlamatnya berbeza-beza walaupun tujuan utama itu adalah Allah. Dan satu perkara yang saya sedar, betapa pentingnya suami isteri saling mendokong antara satu sama lain saat ditimpa masalah.



Nota hamba : Saya memerhati, ramai muslimat yang pakai cincin sekarang ni. Ada yang menandakan mereka sudah berpunya, ada juga yang memakai sebagai perlindungan.

Saat saya memandang jari teman saya yang sudah menikah, saya tanya "Eh, mana cincin?" . Dia senyum dan berdalih.

Akhirnya, rahsia cincinnya tiada di jari saya ketahui juga sewaktu kami berkongsi rasa. Katanya " cincin dah gadai"

Saya ? Hati sebak . Demi mereka, kau gadaikan cincin yang menjadi tanda terbinanya masjid kau. Mulianya hati kau, duhai wanita. insyaALLAH, aku yakin syurga itu layak untuk kau. Wahai Allah, pandanglah hambamu ini.

Katanya kepada suami saat mahu digadaikan cincin " Harga perkahwinan kita, bukan terletak pada cincin,kan?"


 

احفظ الله يحفظك Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger