Isnin, 30 September 2013

Tetamu Tidak Diundang.

Semalam, berborak dengan adik. Sembang santai .

Tiba-tiba dia bertanya "agak-agak akak, kan , dalam family kita ni, siapa yang akan pergi dahulu?"

Saya menjawab "la, manalah akak tahu . Wallahua'lam. Kenapa tanya macam tu? Alin rasa siapa ?"

Dia senyum  dan berkata " Adalah, mana boleh bagi tahu."

Saya pun meneka "mak ?" Dia mengangguk.

"Abah ?" Dia mengangguk.

"Lagi seorang ?" Dia senyap.

"Alin ke ?" Dia mengangguk.

"Kita mana tahu,kan ? Allah je yang tahu siapa yang akan pergi dahulu......"

Daun yang hijau, saat layu menyembah bumi, warnanya sudah bertukar kuning.
Melalui fasa-fasa kitarannya sebagai sehelai daun.
Begitu juga kita.

_________________________________________________________

Dan, sejak akhir-akhir ini, mak selalu titip pesanan buat saya.

"Kalau mak dah takde nanti, mu tahu ko nok cari gare mano ? Jange mok takdok nati, bare abih jah, gi beli, buke nok cari dulu.."

"Kalu mok takdok nati, bare-bare ni jago molek..jange nok wi ore kokse.Mesin tu, guno,la..."

"Kalu mok takdok nati, guanolah anok-anok ni...."

Saya yang mendengar jadi sayu . Kenapa mak sering menyebut soal kematian sejak akhir-akhir ini.

_________________________________________________________

Petang Rabu yang lepas, Allah mahu menyedarkan saya tentang hakikat sebuah kehidupan.

Menyaksikan datuk saudara yang sedang tenat di atas katil membuatkan saya bermonolog " oksigen yang Allah peruntukkan untuk dia sudah semakin sedikit, sebab itu sukar untuknya bernafas "

Dan, jangkaan kebanyakan orang-orang yang hadir itu benar. Pagi Khamis, kembalilah empunya diri ke hadrat Ilahi.

Tengahari itu juga, bergegas pulang ke Kelantan untuk pengebumiannya. Alhamdulillah, diberi kesempatan melihat jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad dari jarak yang sangat dekat.

Hati bermonolog " ya Allah, sempitnya liang lahad ni sebenarnya. Time aku nanti, macam mana, lah agaknya"

_________________________________________________________
Kadang-kadang bila fikir, manusia banyak terlupa tentang kematian dek kehidupan yang menyesakkan akal fikiran.

Masalah diri, keluarga, masyarakat, negara, dunia semua mahu difikirkan.

"Ah! serabut sungguh fikiranku!"

Dan, kelekaan kita terhadap dunia menyebabkan kita jadi lupa pada keseksaan saat sakaratulmaut .

Orang yang masih hidup bisa berbicara apa sahaja berkenaan kematian tetapi tidak mampu merasai keperitannya.

Orang yang telah mati , telah merasa seperti apa kematian itu sehingga kesakitan saat roh dicabut itu sudah tidak mampu bagi mereka untuk menuturkan bicara.

Maut, itu tetamu yang tidak diundang.

Jika manusia boleh menempah tarikh perkahwinan, tarikh pertunangan , ketahuilah ada dua tarikh yang kita tidak boleh menempahnya, tetapi perlu ditempuhi , TARIKH LAHIR kita ke dunia dan TARIKH AKHIR kita di dunia.

Menemui Allah, Tinggalkan Insani
Menuju Akhirat, Temui Ilahi 

Hari ini, saya menulis berkenaan kematian.

Esok lusa, andai saya pergi, saya yakin akan ada sahabat yang akan menulis tentang pemergian saya.

Dan , saya tidak tahu bagaimana keadaan saya saat saya dijemput pulang ke hadrat Ilahi.
Cara hidup kita, menjadi penanda aras bagaimana kita mati.

Tetapi, boleh jadi juga orang yang awal kehidupannya "kurang baik" tetapi asbab hidayah Allah, akhir kehidupannya, menjadi lebih baik dan juga sebaliknya

Satu pintaku, ya Allah . Ingin menghadapMU dalam keadaan Engkau redha denganku.
Ingin pulang padaMU dalam keadaan jiwa yang tenang.


Nota hamba :

Tuhan, dosaku menggunung tinggi
tapi taubatku tak kutepati

Tuhan, rahmatMU melangit luas
terlalu sedikit ku bersyukur

Ingat mati, bukannya takut mati dan jangan sesekali lupa mati.
Lupa mati, kita akan leka dengan dunia .

Sedang menyiapkan dua buah cerpen, doakan .


[ Allah akan memudahkan jalan bagi orang yamg mahu mendekatiNYA, mempelajari ilmuNYA.
Cemburu pada mereka yang Allah mudahkan jalan. Ini bermakna, bukan jalan saya sukar, tetapi antara kehendak diri dan kemahuan mereka, salah satu perlu berkorban. Tunaikan hak mereka, moga Allah beri kesempatan padamu untuk menunaikan hak-hakmu sendiri, duhai diri.Ingat, jangan sesekali membandingkan kehidupanmu dengan kehidupan insan lain, kerna satu ketika kau akan berasa bangga, satu ketika kau akan merasa kecewa]

Selasa, 24 September 2013

Baitul Muslim, Bina Molek !

Ingat, calon bukan sekadar soleh/solehah, tetapi mestilah bertanggungjawab dan saling memahami.
Hubungan dua hala perlu ada, tapi bersederhana.
(eh, gaya cakap macam ada pengalaman je)
Saya belajar dari pengalaman rumahtangga manusia lain.
Gemar memerhati, untuk dijadikan ingatan buat diri 
supaya berguna satu hari nanti 
saat saya bergelar isteri.

Baitul muslim. Topik yang sentiasa hangat di bibir-bibir aktivis dakwah. ( walaupun sudah tamat pengajian kampus).

Sebab, bukan di kampus sahaja kita berdakwah , tapi sehingga akhir nafas dihembus. (biiznillah)

Bicara berkenaan Baitul Muslim, bukanlah bermakna seseorang itu jiwang atau tidak sabar nak merasai "kenikmatan" cinta selepas nikah, tetapi ada antaranya memikirkan besarnya tanggungjawab yang tersirat di sebalik kemanisan halalnya cinta.

Ada kepahitan jika baitul muslim gagal dilaksanakan dengan sebaiknya.
Ya, pelbagai perkara yang perlu ditanggung sebelum menjawabnya di sana nanti.
Sebab itu, Baitul muslim adalah sesuatu yang serius untuk dibincangkan bukan sekadar suka-suka bercerita "ada min taqdim ana" "mat tu dah terima ana".

Baru-baru ini, saya dapat satu mesej dari sahabat kesayangan saya. Dia minta saya carikan seorang muslimin untuk dijadikan zauj. Hati saya bertekad untuk menolongnya setelah membaca sms yang dikirimkan kepada saya.

Antara sebab utama dia minta segera dicarikan calon :

1. Mudah nak bergerak kerja dalam jemaah.
2. Ibu dia beri peluang untuk dia cari calon sendiri sehingga usia 25 tahun. Jika tidak, dia akan dinikahkan dengan pemuda pilihan keluarga yang tidak faham tarbiyah.
3. Bukan tidak mahu menggunakan ubm kampus. Tetapi ubm kampusnya tidak aktif dan dia tidak thiqah dengan muslimin kampusnya atas beberapa peristiwa.

Perkara yang paling mengejutkan saya, dia memberitahu , keluarganya pernah merancang majlis pernikahan tanpa pengetahuannya dan minta dia balik dengan segera untuk majlis akad nikah sedangkan orang yang mahu bernikah dengannya adalah "pemuda biru".


Persoalannya, di mana muslimin yang mahu menyelamatkan muslimat mereka?
________________________________________________________

Pesanan khas buat muslimin.
Kalian hebat berbicara "pilihlah berdasarkan agama, bukan sekadar rupa"

Tapi, bila diperhati, yang dipilih kalian, muslimatnya putih, cantik walaupun tidak aktif.
Yang aktif, tidak dipilih kerana kurang cantik, berkulit gelap.

Ada diskriminasi di situ.

Saya tidak menyalahkan mereka kerana mereka punya hak.
But, there is an issue for us to ponder. Never ignore it.

Aktif atau tidak, terpulanglah. Sebab itu salah satu matlamat Baitul Muslim adalah memastikan keberlangsungan gerak kerja dakwah.

Cuma, pilihlah muslimat/ akhawat jemaah kalian.
Selamatkan mereka sebelum mereka disambar "insan-insan" yang tidak faham tarbiyah.
Kerna mereka memerlukan kalian untuk membimbing mereka.
Bukannya mereka yang akan membimbing suami mereka.
_______________________________________________________
Saya yakin, jika anda muslimat PAS, anda mahu dinikahi muslimin PAS.
Jika anda akhawat IKRAM /ISMA , anda mahu dinikahi ikhwah IKRAM/ISMA.
Jika anda serikandi KEADILAN, anda mahu dinikahi pemuda KEADILAN.
Jika anda puteri UMNO, anda mahu dinikahi pemuda UMNO.

Ke, kalau anda pemuda UMNO, tapi nak nikah dengan muslimat PAS ?

Jika kalian memang orang yang "bergerak", pemilihan calon dalam soal politik atau jemaah juga satu faktor yang penting untuk keberlangsungan baitul muslim anda.

Baitul muslim, perancangannya mestilah teliti, bukan semberono sahaja.
Ingat, pernikahan bukan sehari dua, tapi sampai syurga.


Dan, buat yang sudah melepasi fasa bertunang dan menikah, semoga berbahagia hingga ke syurga.
Buat yang sudah melepasi fasa bertunang , jaga syariat insyaALLAH ada berkat.
Buat yang belum berpunya, yakinlah dengan Dia. HikmahNYA dicari.


Nota hamba : Saya bahagia melihat sahabat-sahabat bahagia. Mohon doa untuk saya dan sahabat-sahabat yang masih belum menikah.

Ya, perancangan teliti. Jangan mengikut emosi , tapi turutkan kata hati.
Kerna hati, ia tidak pandai menipu diri.


Pesanan istimewa untuk adik-adik dan sahabat-sahabat yang membaca blog saya, kalian kenal saya baik di alam maya atau alam realiti. Karakter saya berbeza.

Doakan saya istiqamah di jalanNYA.

Kata Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man "tidak ada jaminan melainkan rahmat Allah untuk kita terus istiqamah di jalan Allah"

Ahad, 8 September 2013

Pemalu Macam Semalu

Rasulullah saw bersabda : Jika kamu tidak malu, maka lakukanlah apa yang kamu suka.
Itu sindiran daripada Baginda saw sebenarnya.

Darjah 1

Teringat waktu darjah 1, awal-awal masuk kelas. Cikgu Zairi (guru kelas saya) mahu menukar kedudukan pelajar dalam kelas. Kumpulan saya, terdiri daripada 3 lelaki, 3 perempuan. Dan, dalam kumpulan tu, memang saya paling pendiam. Melihatkan saya diam, cikgu menukar kedudukan saya. Dan, yang paling buat saya nak menangis, dalam satu barisan panjang, kiri kanan saya semuanya lelaki. Saya tersepit di tengah-tengah. Kawan sekumpulan saya yang lama cakap “Tulah, azai. Orang suruh bising tak nak.”

Saya mesti tersenyum  setiap kali ingat peristiwa tu.

Pemalu macam semalu

Wanita dan pemalu sangat sinonim. Tapi, lelaki yang pemalu pada saya mengagumkan.
Dan, saya punya sahabat lelaki yang pemalu. Dalam malu-malunya, pernah bercouple, tetapi tidak lama dek sikap pemalunya. Ahamdulillah .

“Tak payah,lah cerita pasal orang. Kau pun pemalu jugak”

Ya, saya memang pemalu.  Dalam malu-malu saya, sewaktu tingkatan dua dahulu, saya pernah punya adik angkat lelaki .( masa itu, zaman belum ditarbiyah, saya bertudung labuh di sekolah menengah biasa tapi dalam rancangan kelas agama ) . dan, dek kerana pemalunya saya, “adik angkat” itu terbiar begitu saja .
Saya ingat sewaktu PMR kian mendekat, dan kawan-kawan memang tahu saya seorang yang sukar untuk bercakap dengan budak-budak lelaki (kalau guru lelaki, tiada masalah). Datang seorang budak lelaki dalam kelas duduk berhadapan dengan saya dan bertanyakan perancangan setelah habis PMR .

Ya, waktu itu memang saya malu sebab semua orang tengok .Kawan-kawan mahu melihat reaksi saya. Dalam hati rasa macam nak ketuk je kepala budak tu. “Dah tau orang macam ni, datang jugak.”

Pelik

Ketika menjejakkan kaki ke salah sebuah sekolah agama di kota tinggi. Awal-awal kemasukan lagi saya sudah menunjukkan sikap pemalu.
Budak lelaki itu bertanya : "eh, kau budak baru ea?"
Saya hanya mengangguk.
Dia tanya lagi : "nama kau apa?"
Saya hanya diam.
"eh, budak ni. aku tanya dia senyap je...."
Kemudian datang seorang kawannya "eh, kenapa dia tunduk je?"
Budak tadi jawab "dia tengah bertafakur tu..........."

Satu das yang tepat ke muka saya
.
Dan, ketika di tingkatan 5, saya duduk bersebelahan dengan seorang yang pemalu jugak. Sahabat baik saya sehingga sekarang. Dan, pemalunya lebih dahsyat daripada saya.

Teringat saya yang dia tidak senang duduk dan berlari balik ke asrama , menyorok ketika ada kunjungan kawan dari sekolah lamanya mahu berjumpa dengannya. Kawannya lelaki. Kami semua gelakkan dia .
Dia pelajar baru seperti saya juga. Masuk ketika Tingkatan 4.

Dan, pelajar –pelajar perempuan baru yang tidak bercakap dengan lelaki ini akhirnya menjadi isu.
Maaflah, kami memang pemalu . Bukan sombong, tetapi entahlah , tak pandai nak explain macam mana.
Satu ketika, ketika saya dan sahabat baik saya berborak dengan salah seorang pelajar lelaki yang boleh dikatakan agak rapat dengan kami sebab perwatakannya yang lembut , saya dapat merasakan banyak mata yang memandang kami. Bila saya toleh , semua budak lelaki sedang melihat ke arah kami.

Ya, saya tahu mereka pelik bila melihat kami berdua bercakap dengan lelaki. Dan, akhirnya, kami cepat-cepat mematikan perbualan dan meneruskan kerja seperti biasa.

Dan, pernah juga ada satu ketika, seorang kawan lelaki mahu bertanyakan saya soalan bagi subjek Quran Sunnah. Dipanggil nama saya berulang kali, tetapi saya tidak menyahut, bahkan tidak memandangnya. Kasihan dia. Bukan saya kedekut ilmu, tapi sifat pemalu yang keterlaluan.

Kena Marah

Disebabkan sikap pemalu tidak bertempat saya inilah, saya sering ditegur dan dimarahi mak, abah dan kakak saya, bahkan adik-adik saya juga.

Dan dalam usia belasan tahun juga, setiap kali pulang ke kampung, saya tahu kadang-kadang  sikap saya yang pendiam menjadi bualan orang. Saya sendiri, kadang-kadang tidak tahu mahu berborak berkenaan apa.

Saya tahu, sikap begini tidak patut ada pada seorang yang bergelar daie. Bahkan, saya tahu, saya tidak layak untuk itu. Dan, menyedari sikap pemalu saya yang ketara, seiring dengan perkembangan usia, saya cuba mengubahnya dan masih sedang mengubah.

Lelaki
Saya tidak anti-lelaki, Cuma saya malu dengan lelaki. Bahkan, satu ketika dahulu, untuk berbicara dengan abah juga , saya malu.

Dan, kawan-kawan mengenali saya dengan seorang yang tidak suka menjadikan lelaki dan couple sebagai topic utama dan betapa mereka tahu saya sangat tidak suka orang bercouple.

Sikap pemalu ini juga, seringkali menjadi kerisauan mak abah saya. Bila saya bercerita tentang budak-budak lelaki di sekolah , budak-budak lelaki yang baik, mesti adik-beradik saya teruja dan sangat tidak percaya  yang sister dia yang seorang ini berbicara berkenaan itu.

Matrikulasi & universiti

Menginjakkan kaki saya ke tempat-tempat ini, sedikit sebanyak mengajar saya erti untuk bersosial, tapi mengikut syariat. Walaupun malu saya kadang-kadang tidak dapat dikikis, sekurang-kurangnya, tidak seteruk dahulu.

Saya pernah mengimpikan untuk masuk ke universiti yang tidak ada langsung lelaki di dalamnya, tetapi sangatlah mustahil,kan?


Datang rumah
Saya tidak punya abang atau adik lelaki. Mungkin itu antara faktor saya susah untuk bercakap dengan lelaki. Tapi tidak pada adik-beradik saya. Setiap kali raya, ada sahaja kawan-kawan lelaki yang bertandang. Saya ? dari sekolah rendah hingga zaman matrikulasi menginjak ke tahun ketiga, tidak ada “kawan lelaki” yang bertandang ke rumah. Seriously, saya tak tahu nak treat tetamu-tetamu berlainan gender tu kalau datang ke rumah.

Dan, kedatangan mereka baru-baru ini membuatkan saya terpaku. Saya tak tahu degree of shyness saya tahap berapa. Akhirnya, saya lebih banyak diam dan menyorokkan diri di belakang.

Mak cik saya menempelak “ mu ni, communication failed”
Pak su dan nenek saya pula cakap “ mu ni saing mari, tok se keluar..berat mu ni…………”
Pak cik saya pernah juga bagitahu saya “ mu ni, kalu dale henset, banyok pulok kecek…kalu depe, senyap jah….”

Mujur bukan saya seorang yang begitu, sebab ada sepupu mak saya (lelaki) yang pemalu macam saya juga.
Terpulanglah kalau nak cakap saya communication failed ke apa ke, yang penting dengan kaum wanita saya tidak sebegitu

Nampaknya, saya memerlukan seorang suami yang banyak cakap dan peramah (bukan pemarah), untuk menyeimbangkan komunikasi .
 Orang yang dah kenal rapat dengan saya, akan tahu karakter sebenar saya. Bak kata orang “tak kenal, maka tak cinta”
      Dan, pada saya lebih baik tidak dikenali lelaki . (Habis tu, kau tak nak menikah ke?”)
è
Nota hamba :

  1.  Kenapa saya pemalu dan kadang-kadang pendiam ? Saya punya reason yang tersendiri.
  2. Lidah, mulut, bibir. Tiga beradik ini berkolaborasi untuk menghasilkan tutur bicara. Jika percakapan kita lebih cenderung untuk mengumpat,dan membicarakan yang buruk-buruk berkenaan manusia, lebih baik kita diam. Jika percakapan kita cenderung untuk berbicara yang sia-sia, lebih baik kita diam. Walaupun saat itu, ada bisikan-bisikan negatifPemalu  manusia terhadap kita.
Kita mahu cari redha Allah. Jika dengan diam kita, menjadi satu umpatan bagi mereka, tidak apalah.sekurang-kurangnya, kita berusaha untuk menghindarkan diri dari dosa.
3 3. Wanita dan lidah  sangat berkait rapat. Dan, saya seorang wanita . takut dihumban ke neraka dek kerana lidah yang lebih tajam daripada pedang, mampu menghiris hati-hati manusia jika tersilap kata.
   4. Berbicara yang baik itu lebih baik daripada diam. Tapi, diam itu lebih baik daripada mulut kita berbicara yang sia-sia.
5 5. Dan, untuk sembang-sembang kosong dengan sahabat muslimin secara berhadapan macam itu terutamanya, memang saya tidak pandai .


“Kita selalu dengar orang yang communication failed adalah orang yang pemalu, pendiam, tak pandai nak berkomunikasi orang. Tapi, pada saya orang yang communication failed juga adalah orang yang dalam bicaranya tidak lepas dari umpatan, memfitnah, memburukkan orang lain, memutarbelitkan fakta, menipu, mengadu domba dan seangkatan dengannya. Juga orang yamg mudha mengeluarkan kata-kata kesat apabila amarahnya dijentik.”

Ahad, 4 Ogos 2013

Kamu, Saya Sayang !







........................................................................

"Hidup ni, bosanlah..."

Luahan seorang budak berusia 8 tahun.

Terkedu saya mendengarnya. Bosan ? Hati saya bermonolog " Kau baru 8 tahun hidup, dik..."

Sometimes, i feel death is better for me . Wao ! Ayat bongkak gila !

......................................................................

Bila hati lelah dengan ujian, mulalah fikiran terbayangkan kematian.

Hebat sangatkah kita, sudah bersediakah kita mahu menghadap Allah ?

Tabung amalan kita, sila periksa semula.

Kita rasa macam dah banyak amalan, oh, rupa-rupanya, sudah kosong . Sudah disedekahkan pada orang lain.

Kita rasa penuh macam bukit, rupa-rupanya , dah jadi debu berterbangan.

Sebab itu, kita diizinkan Allah masuk syurga, dengan rahmatNYA, bukan dengan amalan-amalan kita.

.................................................................

Tuhan, aku ini, hamba yang mujahadahnya turun naik, turun naik .

Kasihanilah aku, ya Tuhan.

Jika kita rasa jalan sudah tertutup, hati sudah sempit , tenangkanlah diri.

Renung kembali tujuan apa Allah mengizinkan kita bernafas di atas bumi ini.

Ingat, antara berjuta sperma dahulu, kita sudah menjadi juara.

Jika kata-kata insan lain sudah tidak mampu memberi semangat kepada kita, maka kembalilah, semaklah semula ayat-ayat Allah yang menenangkan jiwa .

Beri perangsang kepada diri sendiri !

Cintailah diri sendiri. Jangan rasa kita sendirian atas muka bumi ini, Allah kan ada ?

Biarkan manusia, usah pedulikan mereka kerana mereka juga hamba ciptaan Allah.

Mahkamah dunia, mahkamah manusia memang zalim, tidak pernah adil. Ramai yang terseksa kerananya.

Maka, nantikanlah mahkamah Allah nanti.

Persiapkan dirimu menuju Allah, agar kau tersenyum saat kembali padaNYA .

Biar insan melihatmu tidak punya apa-apa, tapi kau tahu dirimu sedang dan sentiasa bermujahadah menjadi baik disisi Allah.

Ya Allah, bantu aku, hamba-MU yang lemah!



Nota hamba : Saya cintakan seseorang. Saya rasa, dalam hidup ini, dia yang paling saya cintai. Saya berharap, dia akan peroleh seseorang yang baik untuk menjaganya. Dan, saya berharap, sebelum saya pergi, saya mampu melafazkan kata cinta terhadap dia. Terima kasih atas pemerhatianmu terhadapku, dan terima kasih kerana melihat potensi aku ! Ya, Allah, jagakan dia untukku !

Rabu, 31 Julai 2013

Aku Talam Dua Muka.

Sambil scroll newsfeed di Facebook, terpandang status-status yang diupdated oleh myilham.com. 

Hati saya basah dengan setiap madah yang ditulis. Kata-katanya indah, seperti nukilan Ustaz Pahrol. 
Dan, saya seolah-olah membaca rintihan hati saya sendiri.






Ya, air mata menjadi peneman sejak kecil hingga sekarang. Dengan asbab manusia, Allah mahu saya dekat denganNYA.

Sampai bila engkau mahu menangis kerana kecewa dengan manusia? Belajarlah dari satu kesilapan agar tidak diulang kali kedua. Tangisan hari ini, biarlah menjadi kekuatan hari esok, bukan kelemahan yang engkau mahu bawa selamanya. 

Boleh jadi manusia yang membuatmu kecewa menjadi wasilah untuk engkau semakin dekat dengan Yang Maha Esa. Ini sebuah kehidupan, belajarlah darinya.


Mungkin, ada yang mengenali saya sebagai seorang yang gemar berlawak. Tapi, saya yakin even dia rapat dengan saya pun, dia belum kenal saya sedalamnya.

Percayalah, kita hidup di kalangan orang yang menyembunyikan tangisan dalam senyuman, yang mana kerapkali kita gagal mengenali wajah sebenar mereka.

Orang selalu kata saya kuat. Sebenarnya, tidak . Hati saya sudah penat. Tapi, dengan kekuatan yang Allah beri, saya mampu bertahan.

Orang yang suka memendam sukar dikesan dari luaran, meski dilihat tabah dan tenang, namun siapa tahu sehebat mana tangisannya tika sendirian.


Selalulah bertanya pada diri sendiri, mampukah untuk aku lalui hidup ini tanpa perhatian dan kasih sayang Allah? 

Manusia di waktu senang, sangat jarang mengenal Allah. Manusia di waktu susah, yang pertama sekali dicari adalah Allah.

Sungguh kita tidak mampu hidup tanpa rahmat-Nya, maka jangan sesekali diperkecil perhatian dan kasih sayang Allah kepada kita. Moga kita semua tergolong dari kalangan hamba-Nya yang bersyukur.


Saya cinta kepada orang-orang yang mencintai Allah. Dan, saya sangat cinta kepada orang yang saya cinta.
Tak mampu mengungkapkan kata-kata cinta, maka saya lebih gemar menulis kata-kata cinta dan hantar doa untuk mereka. Saya tidak mampu melihat orang-orang yang saya cinta mengalirkan air mata. Bahkan, saya rasa saya mahu menanggung apa yang dirasa. Mungkin hati saya sudah lali dengan tangisan, dan derita.
Biarlah mereka gembira, dan saya berduka. Kerana saya tidak tahu dengan cara apa lagi, saya mahu membalas kebaikan mereka.

Salah satu tanda keikhlasan kita mencintai seseorang adalah dengan selalu menghadiahkan kepadanya doa. Sesungguhnya, hati tenang dengan mendoakan keselamatan dan kebaikan untuk orang yang kita sayang. Meskipun dia jauh di mata, namun dia punya tempat yang cukup istimewa di dalam jiwa. Hadiahkanlah kepadanya doa tanpa jemu, biarpun dia tidak tahu, tetapi yakinlah Allah Maha Tahu sebesar mana kasih sayangmu dan sehebat mana rindumu itu. 



Saya sedar diri saya bukan seorang yang bersikap empati kepada orang lain. Mungkin sensitiviti terhadap orang lain kurang. Mungkin dilihat seperti tidak memahami orang lain. Tapi, jauh di sudut hati saya, setiap orang yang sudi berkongsi rasa dengan saya, saya gembira kerana menjadi kepercayaan orang untuk  meluah perasaan.

Cuma, dalam kita nak memahami orang lain, satu perkara yang susah sebab nak memahami diri sendiri pun sudah pening kepala. Cukuplah, yang benar-benar faham kita itu hanyalah Allah.




Nota hamba : Sukar menangis di hadapan orang membuatkan ramai yang kata saya kuat Hakikatnya, kini saya mudah menumpahkan air mata di hadapan dia. Buat sahabat yang saya kagumi, saya memilih kamu untuk bercerita segala cerita hati. Andai saya ditaqdirkan pergi dahulu, simpanlah cerita saya sehingga kamu juga menghadap Ilahi.

Dan, terima kasih atas tembakan nasihatmu yang bertalu-talu. Aku hargai .
 

احفظ الله يحفظك Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger