Selasa, 26 Mei 2015

Korek Si Diri


Bila koreksi diri, banyaknya kutemui kekurangan & kekhilafan diri, lantas aku merasakan tidak pantas untuk aku bersedih dengan segala hadiah ujian dariMu kerana aku yakin , aku pasti itulah tanda aku masih diberi peluang untuk kembali padaMu sebelum tiba satu saat aku pergi tak akan kembali.
Solat . Sabar . Senyum . Syukur .
Redha . Qanaah . Ikhlas .


Subhanallah, lama sangat tidak menulis. 

Ya, aku sengaja tidak menulis kerana rohaniku tidak bersedia. 

:)

Bila seseorang tenggelam dalam sebuah dosa, lidahnya tidak akan sanggup melarang orang lain daripada melakukan dosa yang sama, apatah lagi untuk bersikap tegas.
Kalau ingin bicara tanpa beban, bebaskan dulu diri sendiri dari dosa yang membelenggu supaya diri tidak merasa hipokrit !

Dosa atau maksiat itu menghambat urusan dunia, agama, dan akhirat. Dalam urusan dunia, rezeki menjadi terhalang. Dalam urusan agama, ilmu dan al-Qur'an yang sudah dihafal menjadi lupa. Dalam urusan akhirat, jelas sekali celaka menanti. Tidak ada untungnya berbuat dosa, baik dari segi dunia, agama dan akhirat. Kecuali hanya pemuasan nafsu semata-mata !


Allahurabbi. Aku tahu, aku banyak khilaf.
Aku tahu, aku bukanlah orang yang baik tetapi aku berusaha mendidik jiwaku untuk menjadi baik biarpun aku sering tewas.

ya, aku tahu aku memang banyak khilaf dan aku mohon seinfiniti kemaafan .

:)

Khamis, 17 Julai 2014

Sepi Menemani Diri

( Cetusan rasa , sebab aku tidak tahu mahu menulis apa )

Pahlawan Gaza , mujahideen fi sabilillah .
Izzuddin Al-Qassam & Saraya Al-Quds
Setiap hari, lagu mujahidin Al-Qassam menjadi halwa telinga saya.
Ya, dengar untuk menaikkan semangat dan untuk mengetuk diri bahawa
saudara kau di sana lebih dahsyat ujiannya.



Seringkali kita lihat, anak sulung dan anak kedua, karakternya berbeza.
Sepanjang pemerhatian saya dan adik-beradik saya, kami tidak pernah jumpa anak sulung dan anak kedua yang sama karakter.
Satu perkara yang saya perasan, walau berbeza karakter, tapi  tetap mesra.
Tapi, ada juga yang macam anjing dengan kucing.
Saya dan kakak.
Kakak saya , dari luaran nampak ketegasannya, tapi hati sangat lembut. Mudah menangis, walaupun di hadapan manusia lain.
Saya, orang nampak lembut, tapi hati keras. Ego. Menangis? Saya sedaya upaya cuba menahan air mata daripada mengalir dihadapan manusia lain walau saat itu hati remuk redam.
Cuma dia yang saya berani mengalirkan air mata dihadapannya, kerana saya tenang bersamanya.

Rasanya, kali ini saya mahu membisu. Bukan menyepikan diri selamanya.
Tapi, mahu membawa diri, mengubat hati .
Pusat Tahfiz – Suluk – Pondok .
Antara tiga target tempat utama yang saya mahu jejakkan kaki.
Pusat Tahfiz – Mengajar sambil belajar Ilmu Quran
Suluk – Tazkiyatun Nafsi
Pondok – Menadah kitab-kitab : Aqidah, Feqh dan Akhlak

Kerana saya tahu, Allah menghilangkan ilmu-ilmu atas muka bumi ini dengan asbab kehilangan ulama’. Saya , sering punya persoalan-persoalan agama yang  bermain di benak fikiran. Ya, selain merujuk alim ulama’ lebih baik saya juga terjun dalam bidang pengajian.
Diajar sambil belajar.
Di pusat tahfiz, saya mahu mendalami ilmu Al-Quran.
Ya, ilmu Al-Quran sangat luas . Tajwid, Tarannum, Tafsir dan banyak lagi.
Untuk kesemua tempat ini, saya mesti memohon restu daripada mak abah dan orang-orang yang dekat dengan saya.

Satu harapan, moga-moga dengan asbab semua ini, saya lebih mengenali Allah, redha dengan aturannNYA, hati lebih tenang, tahu tipu daya syaitan dan jauh dari dosa-dosa baik yang kecil / besar, zahir / batin.
Pengakhirannya, kembali padaNYA dalam keadaan husnul khatimah.


Nota hamba :
Sebenarnya, ini entry lama. Saya terjumpa dalam draf blog. Saya nak mencari sesuatu buat diri.
Saya nak mengubati hati. Saya nak cari tempat yang menenangkan diri . Saya nak cari tempat yang boleh menjernihkan hati nurani. Saya nak pergi jauh dari hiruk pikuk manusia . Saya mahu ditemani alam dan pencipta saya sendirian. Sebab saat ini, terlalu banyak perkara yang bermain dalam fikiran saya.

Oh, ya! Nukilan di bawah ini, nukilan lama. Tiada kena mengena dengan situasi sekarang.

 Buatmu teman, aku mohon maaf jika ada khilaf aku padamu. 
Saat ini, biarlah doa menjadi penghubung. 
Tapi aku yakin, Allah sentiasa ada untuk kalian.
Yusuf : 86 , Allah kuatkan aku. Tangisan ini,sarat dengan kerinduan. Biar aku susah mempamer perasaan, tapi lubuk hatiku, memendam kepiluan.


If u know how i miss u too, u will ask me to miss you less.

Sahabat, aku harus terima kenyataan bahawa kita tidak selamanya bersama.
Kau akan punya kehidupan sendiri, begitu juga aku.

Jika engkau mahu menyepi, apa dayaku.
Aku harus menerima, aku harus mengikut rentakmu.

Tapi aku tahu antara kita, ada yang mengikat.

Doa dalam ingatan.

Aku khuatir, dalam engkau cuba menyepi , aku juga makin menjauhkan diri
Bukan mengharapkan balasan, tetapi aku manusia.
Kita manusia, ada yang memberi, dan ada yang menerima.

Aku cuba berlapang dada
Aku cuba bersyukur kerna kau pernah hadir dalam hidup seorang insan hina.

Aku khuatir, dalam kita masing-masing membawa haluan,
Datang sang iblis membisikkan kata-kata jahat
Datang sang iblis meniup hasad dengki, sangka buruk
Yang kesannya, pada hati dan diri kita,

Kalimah ukhuwah kerna Allah sudah tidak dijunjung.

Aku berharap, sangat-sangat berharap,
kita saling terus terikat dengan cinta kepadaNYA.

Moga jumpa di Jannah . Allahumma ameen,

Sabtu, 12 Julai 2014

Wahai Kamu!

Salam alaikum ya abdullah .


Tembak doa untuk mereka!
Tembak doa untuk mujahidin yang sedang berjuang!
Tembak doa buat Palestinian yang mewakili kita menjaga bumi para Anbiya'

Wahai anakku,
Hargailah persahabatan yang ikhlas kerana Allah, kerana ia kekal dalam redha Allah. Bilamana Allah utus kepadamu seorang sahabat yang baik akhlaknya, tekun menjalankan perintah Allah, tenang menghadapi ujian Allah, sesungguhnya DIA telah mengutuskan kepadamu seorang guru yang baik untuk kamu mempelajari kebaikan darinya.

Untuk itu wahai anakku, pelajarilah dari sahabatmu itu kecintaan kepada Allah, merasai kasih sayangnya agar engkau akan takut kepada kemurkaanNya dan sangat mengharap redhaNya.

Wahai anakku,
Syaitan berusaha merosakkan persahabatan baik itu dengan memasukan nilai kejahatannya. Ia akan berusaha memisahkan kamu dari sahabat yang baik itu. Kasihsayang mu kerana Allah akan bertukar kepada kecintaan melampau kepadanya; sehingga kamu nampak diri sahabatmu lebih besar dari Allah. Lalu kamu akan menghargainya lebih dari Allah yang mengutuskan ia kepadamu. Kamu bangga dengannya sehingga kamu terlalai dari bangga dengan Allah yang sentiasa memeliharamu. Engkau akan rasa rindu kepadanya, sehingga kamu tidak lagi merindui Tuhanmu. Engkau akan menangis kerananya, tetapi kamu tidak menangisi dosamu terhadap Allah.

Wahai anakku,
Betapa gembiranya kamu menerima surat yang disampaikan oleh seorang posmen, janganlah sampai kamu lupa kepada yang menulis surat kepadamu. Engkau menunggu- nunggu kedatangan posmen ke rumahmu setiap hari, tetapi kamu tidak menanti redha Tuhanmu. Engkau akan membaca catatan sahabatmu yang kamu cintai itu berkali kali, tetapi kamu tidak membaca lagi peringatan Allah ( Quran) yang dikirim kepadamu.

Wahai anakku,
Syaitan sangat licik menipu manusia, kini kamu kasih kepada sahabatmu kerana kamu rasa hebatnya sahabatmu, baiknya dia, penyanyangnya dia dan pelbagai alasan, sehingga bayangannya lebih besar dari Allah. Untuk itu wahai anakku, besarkanlah kasih sayangmu kepada Tuhanmu, nescaya akan datang kasih sayang makhluk Allah kepadamu. Jagalah segala perintah Allah, nescaya Allah akan memelihara persahabatanmu, dan jangan sesekali kamu lakukan sesuatu yang mengundang kemurkaan Allah dalam persahabatanmu, kerana hakikatnya setiap manusia akan berpisah juga akhirnya, namun kamu tidak akan berpisah dengan Allah.

_Kalam TITM_




Nota hamba : Dulu, selalu spent time dengan sahabat-sahabat di pantai-pantai berdekatan dengan UniSZA.
Dan, antara lagu kegemaran yang dialunkan adalah lagu kumpulan FeelHoney (salah seorang ahlinya adalah Mr.Bie).
Lagu Kisah Cinta.

First saya dengar lagu tu, saya terus jatuh cinta.
Jatuh cinta ? Erk, bukan dengan munsyidnya, tapi dengan liriknya.

Pernah saya mengalunkan lagu itu seorang diri dalam bilik sehingga mengalir air mata.
Wajah-wajah yang saya sayang terbayang di tubir mata.

Dan, dengan asbab lagu itu, saya ingat janji-janji yang terpatri antara saya dan sahabat-sahabat.
Kini, saya mencuba untuk lapangkan dada selapang-lapangnya.
Demi Dia.


Dulu kau berdiri bersamaku
dan saling mengukir janji
bahwa kau kan selalu ada disini
susah senangku bersama kau tempuhi 
ku hargai

kini kau dimana
meninggalkan ku sendiri tak berdaya
pesanmu padaku janganlah bduka 
jangan menangisimu bila kau tiada
ku mencuba..

air mata pun jatuh ke pipi
mengingkari janji yang ku beri
kisah cinta sahabat sejati 
tak berakhir bila engkau pergi
sahabatku kau kan kurindui
kerna kau takkan kembali

walau kau disana
namun doaku kan selalu bersama
maaf kernaku tak pernah tuk berkata 
bahwa kaulah teman yang paling sempurna
yang ku ada..



Mahu tersenyum dengan apa jua yang Allah beri, Rasa malu untuk menangis dengan ujian yang tidak seberapa jika dibandingkan dengan saudara-saudara seIslamku yang ditindas. 

*Eh, aku pun rakyat yang tertindas !

Ahad, 6 Julai 2014

Istimewa Buat S .

Sahabat yang soleh
Laksana penjual kasturi
Sedikit kesannya
Keharuman melata

Sahabat yang soleh
Kebaikannya menjadi tumpuan
Keimanannya terus digilapkan
Ketaqwaannya dapat ditingkatkan
Mengalahkan syaitan yang siang
Malam berjuang untuk kerosakan

Sahabat yang soleh
Rupa paras bukan jadi bandingan
Darjat & pangkat bukan soal pilihan
Kejayaan yang dimiliki di atas dunia bukan jadi ukuran
Yang mulia di hati budi
Asasnya Iman
Neracanya Taqwa



Sahabat yang soleh
Ialah yang menegur kesilapanmu
Bukan niat untuk menunjuk pandai darimu
Bukan kerana untuk mencari silapmu
Bukan disebabkan membenci dirimu
Bukan gara-gara iri hati padamu

Ketahuilah
Sahabat yang soleh sangat menyayangi akan sahabatnya
Tidak tegar melihat sahabat yang dicintainya terus tersasar &tersasar
Dari cinta & redha Ilahi

Sahabat yang soleh
Akan berusaha menegur kesilapanmu dengan penuh berhikmah
Agar ia tidak berulang
Melarangmu dari melakukan kemungkaran
Yang membetulkan kesalahan
Yang mengingatkan dari kealpaan
Yang menasihatkan dari kelalaian
Yang berusaha sedayanya membawamu jauh dari lembah kemaksiatan
Yang berusaha seupayanya membawamu jauh dari lembah kebinasaan
Yang berusaha segigihnya agar dirimu jauh dari lembah kehancuran

Tidak setakat menganggukkan kepala
Mengiyakan apa yang kau kata
Setuju apa yang kau bicara



Sahabat yang soleh
Ialah disimu pada setiap keadaan
Yang meraikanmu pada saat kegembiraan
Yang mendampingimu pada saat kesedihan
Yang sanggup berkongsi kepentingan
Yang tidak pernah mengungkit pemberian
Yang senantiasa mendoakan kebahagiaan buat sahabatnya tanda ingatan
Yang tidak pernah berundur dari medan perjuangan
Untuk merealisasikan sebuah pengorbanan



Sahabat yang soleh
Malunya mengatasi perawan

Beraninya mengatasi pahlawan
Cintanya bukan pada gambaran
Rindunya bukan pada pertemuan

Sahabat yang soleh
Hatinya sarat dengan Iman
Rantingnya Ikhlas
Dan puncak keredhaannya menjadi tumpuan

Sessungguhnya
Ajal & maut bukan penyebab putusnya ikatan sebuah persahabatan yang telah kau bina dengan penuh kasih & sayang
Jadikan doa yang tulus & ikhlas serta Al-Fatihah yang tidak putus-putus sebagai hadiah yang tiada tandingan sebagai tanda ingatan dalam persahabatan



Sahabat yang soleh
Yakinilah bahawa ajal & maut sebagai satu permulaan kebahagian & berdoalah bahawa akan kau dipertemukan semula dengan sahabat solehmu oleh Allah di Jannatul Firdaus yang abadi
InsyaAllah

Sahabat yang soleh
Cintailah sahabatmu hanya kerana Allah
Kelak
Halawatul Iman dapat kau nikmati 

Ketahuilah bahawa,
Memiliki Seorang Sahabat Sejati Adalah Lebih Berharga Dari Seribu Teman Yang Mementingkan Diri Sendiri

Dari Abu Darda' ra,
Bahawasanya Rasulullah saw bersabda :
"Doa seorang Muslim kepada saudaranya dengan tanpa pengetahuan saudaranya itu mustajab;
pada kepala seorang Muslim itu ada malaikat yang diberi tugas itu mengucapkan :
"Semoga Allah mengabulkan & untukmu juga seperti itu."

(Riwayat Muslim)




.The Beauty of Islam. 





Nota hamba : Redhakan aku ya Allah dalam menjalani taqdir kehidupan yang Engkau telah tetapkan untukku. Maafkan aku atas tangisan yang tiada nilainya. Semoga Ramadhan ini , aku berjaya peroleh ijazah taqwa , redha dan mahmudah dari Mu.

Pimpin aku untuk melalui jalan mujahadah ini, ya Allah.
Jangan biar aku terkapa keseorangan.

Khamis, 26 Jun 2014

Aku & Abah


Abah , semoga dalam peliharaan Allah


Bercerita tentang Abah, aku jadi teringat-ingat waktu kecil dahulu.

Abah kini dah berusia 52 tahun. Sudah semakin berusia.

Dulu, waktu kami kecil, Abah sangat garang. Tak berani nak bantah kalau Abah bagi arahan.

Nak banding kaklong dengan aku, waktu kecil dulu, akulah yang paling nakal.

Sikap seperti budak lelaki, ala-ala tomboy.

Aku masih ingat, waktu itu , sudah hampir maghrib. Abah menyuruh aku masuk ke dalam rumah, tapi sebab aku masih seronok bermain basikal, aku buat tidak endah dengan arahan abah. Akhirnya, abah mengejar aku dari belakang sambil bawa rotan. Dan aku, semakin laju mengayuh.

Teringat juga waktu aku tidak dapat mengaji dengan baik, akhirnya abah mendenda aku dengan mengurung aku di luar rumah . Padahal, jarum jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Menangislah aku dibuatnya. Mungkin dengan asbab itu, akhirnya aku bisa mengaji dengan baik.

Teringat juga sewaktu aku menanggung kesakitan kerana kelenguhan kaki yang melampau, gara-gara gangguan yang dialami. Peristiwa semasa Tingkatan 3 yang berlaku pada pukul 3 pagi, aku menangis keseorangan di ruang tamu kerana tidak dapat tidur, mujur Abah bangun hendak ke tandas dan ternampak aku menangis kesakitan. Abahlah yang mengurut kaki aku walaupun aku tahu waktu tu abah sangat mengantuk.

Teringat juga, pada awal persekolahan di Tingkatan 3, Abah tidak punya wang yang cukup untuk membayar yuran sekolah aku. Aku dan kaklong hampir menitiskan air mata ketika melihat Abah menadah tangan daripada seorang guru yang anak-anaknya diasuh emak aku , untuk meminjam wang bagi melunaskan pembayaran yuran sekolah. Dan tahun itu jugalah, jika aku tidak silap, duit raya yang aku dapat, digunakan untuk membayar yuran adik-adik di sekolah agama.

Dan, aku ingat sewaktu melangkahkan kaki ke alam kampus bersama kaklong , duit bonus yang Abah dapat untuk tahun itu, langsung tidak Abah sentuh demi melunaskan yuran pengajian anak-anak di universiti.

Pengorbanan Abah dan Emak terlalu besar buat aku dan adik- beradikku. Kami bukan orang senang dan bukan juga orang susah. Cuma, aku boleh katakan , waktu aku kecil sebelum kehadiran dua orang adikku, kami boleh dikatakan agak susah.

Biarlah kalau orang kata aku jakun apabila menjejakkan kaki ke restoran-restoran mewah atau mengajak aku makan di tempat -tempat yang sering aku lihat di TV.

Seingat aku, aku mula merasa KFC ketika aku berada di Tingkatan 2. Pizza Hut ? Boleh bilang dengan jari.
MCD ? Alhamdulillah, tidak pernah jejak kaki . Baskin Robin (Ejaan pun aku tak tau macam mana), langsung tak pernah rasa. Dunkin Donut, Secret Recipe, Big Apple , semuanya aku rasa saat kaki sudah menjejak ke universiti. Burger King ? Alhamdulillah, aku tidak pernah juga merasa.

Biarlah , aku tidak kisah jika tidak dapat merasa semua itu. Cuma, kadang-kadang terbit juga rasa rendah diri saat berhadapan dengan orang-orang yang hidupnya mewah , yang sering berkunjung ke tempat -tempat sebegitu.

Aku berasal dari keluarga yang sangat biasa, tapi aku sangat bahagia dan aku suka dengan kehidupanku. Emak , Abah , Kaklong dan Adik-adik adalah insan yang paling aku sayang . Mereka sudi terima aku apa adanya.



Kini , abah sudah tua. Semakin sensitif. Adikku sering berpesan, sesekali telefonlah abah, jangan asyik telefon emak sahaja. Ya, aku boleh telefon abah, tapi setiap kali aku telefon abah, air mataku sering bergenang. Ah, adakah aku yang terlalu sensitif?


Angah sayang abah. Angah suka bila Angah call Abah akan cakap "Hello, sayang !"

Ah,aku tidak mampu menuturkan lafaz sayang di hadapan kalian, abah dan emak, kerana pasti air mataku akan mengalir.

Biar ia menjadi lafaz yang tersimpan. Kerna sayangku itu kuterjemah melalui tindakan.

Sabtu, 31 Mei 2014

CPR & CSR . Definisi Saya.

CPR . Anda tahu apa itu CPR ?

 Cardio-Pulmonary Resuscitation. 

Ya, yang bantuan pernafasan tu. Ingat tak ?

Ok, salah. 

CPR stands for Cabul , Rogol , Perkosa.

Dewasa ini, terlalu banyak sajian berita melibatkan C P R.

Takut ? ya, sudah semestinya kerana saya perempuan.

Adik-beradik saya semua perempuan . Mana ada lelaki.

_____________________________________________
 Kes di Kelantan , budak perempuan dirogol oleh 38 orang lelaki. Itu lelaki ke binatang ?

Kes di Selangor , budak perempuan berusia 12 tahun , dirogol oleh rakan - rakan seramai 8 orang .

Kes di Indonesia, pelajar Malaysia yang dirogol ketika mahu mengeluarkan duit di ATM . Jarak ATM dengan rumah sewanya tidak jauh. Mungkin sebab keluarnya berseorangan dan ditambah pula dengan malam yang gelap.

Yang paling memeranjatkan saya, muslimah yang belajar di Indonesia itu bertudung labuh dan berniqab!

Allahurabbi, dunia oh dunia. 

Yang lengkap menutup aurat , siap berniqab pun boleh kena rogol. Subhanallah, ujian Allah untuk muslimat tadi.

Jangan pula ada orang condamn " ala, yang tutup aurat lengkap pun kena rogol, lebih baik aku tak payah tutup aurat ".

_____________________________________________

Nafsu bila dijadikan tunggangan , punah kita! 

Allahurabbi, itulah bila hukum Allah dipandang sepi.

Allah mencabar kita dengan jenayah - jenayah yang tak masuk dek akal  seolah-olah Allah berbicara dengan kita "Hei , manusia! sampai bila kau mahu menyombong ? Aku maha hebat , Aku boleh buat apa sahaja"

_____________________________________________

Budak - budak sekolah juga saban hari makin teruk.

Yang pukul cikgu , yang gangster , yang buli, dan bermacam - macam lagi.

Huh, teringat waktu saya sekolah di salah sebuah sekolah di Felda dahulu.

Kes Pow, kes gaduh benda biasa. Saya sendiri pernah menjadi mangsa.

Yang buat perniagaan jual dara pun ada. Yang kes bawa arak pun ada.

Merokok tak payah cakap. Macam benda wajib.

Sekolah agama pun , kadang - kadang 2 x 5 . 

Kes curi , kes buli , kes merokok , kes dating.

Jika dulu, pelajar masih takutkan guru. Tapi sekarang , terbalik. Cikgu yang takut dengan pelajar.

Cikgu dulu dengan cikgu sekarang pun berbeza.

Sekadar muallim, bukan murabbi.

Bukan semua ya.

____________________________________________

CSR - Corporate social responsibility .

Pada saya CSR perlu dilaksanakan dengan CSR juga.

Cinta , Sayang , Rindu.

Cinta pada Allah dan Rasul
Sayang pada sesama manusia.
Rindu melihat biah soleh tertegak kembali.

_____________________________________________

Malaysia, semakin tenat . 
Nazak . Parah .

Aku, marhaen . Hanya mampu melihat. 
Berdoa pada Allah , itu senjata yang aku ada.
Untuk bersuara, tidak didengari.



Di mana silapnya ?
Bila Islam diamalkan separuh-separuh.


Bala Allah akan turun bila-bila masa.

Siap sedia. Dengan tentera alam , dengan Dajjal , dengan bermacam - macam kemungkinan.

Tahniah buat kalian yang sensitif dengan isu ummah .
Yang masih hanyut , kembalilah .



Nota hamba :
Teringat sahabat-sahabat muslimat di Jordan.
Teringat adik-adik yang bakal ke universiti dan yang masih bersekolah (pra-universiti)
Teringat kaklong yang bekerja di ladang SD.
Teringat mak yang seorang diri di rumah bila abah pergi kerja.
Teringat abah yang kurang sihat , dengan jarak tempat bekerja adalah 14 km.

Allahurabbi :'(

Tidak ada jaminan terbaik melainkan pergantungan kepada Allah.
ya Allah, pelihara mereka untukku.


* teringat zaman sekolah, pernah jadi mangsa pow, mangsa kecurian .

Sekarang, haiwan dah macam manusia, manusia dah macam haiwan!


Dari Dia Untuk Kita

Salam alaik  .

Tidak tahu mahu mencoret apa. Sekadar membiarkan jari jemari menulis mengikut rentak.

Sudah masuk Syaaban , bukan ?

Semoga sempat untuk bertemu Ramadhan.

__________________________________________________



Pernah tak alami situasi ini ?

Kita menghantar mesej pada seseorang dan kelihatan "seen" pada mesej yang dihantar , tetapi tidak di balas.
Sedangkan kita melihat tuan yang kita hantar mesej, sering sahaja online dan sudah membaca mesej kita.

Dalam situasi begini, subhanallah, ujian untuk bersangka sangat dahsyat. Syaitan akan bisikkan yang bukan-bukan. Pujuk hati untuk bersangka baik walaupun hati terkilan.

 (Adakah sebab saya perempuan yang sensitif?)

Sama juga situasi ketika kita melihat sahabat-sahabat yang rapat dengan kita, tag nama sahabat-sahabat lain pada statusnya, tetapi nama kita tidak ditag sekali. Waktu itu pun, Allah mahu menguji sejauh mana sangkaan baik kita terhadap sahabat kita.

(Sekali lagi, adakah saya terlalu sensitif )

Dalam berukhuwah sahaja, cukup banyak ujian. Allah tidak menjadikan semua yang berlaku sia-sia.

Saat kita berdoa, "ya Allah, aku memohon kepadaMu sebenar-benar tawakal kepadaMu, dan sangkaan yang baik daripadaMu keatasku", maka, dengan ujian-ujian tadilah Allah mahu mendidik hati kita supaya bersangka baik dengan manusia.

Dalam berukhuwah juga, sentiasalah jadi yang pertama. Pertama dalam erti kata, sentiasa memulakan untuk menyapa , menghantar kata-kata semangat atau apa - apa sahaja walaupun kau tidak mendapat kembali apa yang diberi.

Hidup untuk memberi,kan sayang ?
Berilah semampu. Berilah mengikut kadarmu.

Janganlah mentang-mentang , kita tidak rapat dengan sahabat lain , kita tidak pernah menegurnya walaupun dia tidak pernah menegur kita.

Didik hati untuk memulakan walaupun pada awalnya kau akan mengharapkan balasan , kau mengharapkan setimpal dengan apa yang kau berikan.

Dan, jika apa yang diberi tidak setimpal, tersenyumlah sebab semua yang berlaku dengan izin Allah.

Ya, tersenyumlah sayang.
Memang perit, memang sakit.
Apa jua ujian dan mehnah yang Allah izinkan berlaku ke atas kita, ada hikmah.
Ujian itu tanda Allah sayang.

Pandanglah semuanya dari Allah.

*Duhai diri, ada perkara yang kelihatan kecil di mata kita, tapi besar pada pandangan orang lain. juga sebaliknya. Justeru itu, raikan perbezaan, raikan pendapat.

Nota hamba :

Pusing kembali kehidupan lalu, buat aku kini tersenyum. Tuhan , walau hidup sering dirundung duka, kini kau temukan aku bahagia.

Aku mencari hikmah ujian lalu ketika usiaku sudah semakin mendekati kematian.
Aku belajar mengenali kehidupan.

Tuhan, terimalah aku sebagai hambaMu saat aku kembali padaMu suatu hari nanti.

Ahad, 25 Mei 2014

Allah Ada, Bergembiralah!

Love is a verb not only a word.
Listen not hear
The first task's of lover is to listen.
And, walk your talk.

Menghargai walau tidak dihargai
Memberi walau tidak menerima
Allah ada , bergembiralah!

__________________________________________________________

Hidup ini penuh pancaroba, kan ?

Tangisan, rintihan , keluhan seringkali menghiasi hidup kita.

Ada orang, hidupnya lebih banyak dirundung kecewa berbanding tersenyum bahagia.

Aturan Allah itu indah , sangat indah.

Tapi, kalau hati kita sakit, hati kita hitam , kita takkan nampak keindahan aturan Allah.

Yang kita nampak , "kenapa aku ? "

"kenapa Allah takdirkan laluan hidup aku macam ni?"

"Apa dosa aku, sampai macam ni sekali ujian yang aku kena hadapi?"

Eh, lupakah yang kita ini hamba ?
Kita ini siapa, mahu marah-marah sama Allah ?

Memang, ada satu tahap kadang-kadang kita kecewa, kecewa yang teramat.
Jika iman tidak menguasai kita, pasti jalan singkat yang menjadi pilihan untuk menamatkan ujian ini.

Heh, jangan ingat tamat riwayat hidup bermakna tamat ujian.
Kena ingat, tamat riwayat hidup bermakna, bermulalah kehidupan kita di alam barzakh yang mana kita dihidupkan semula. Yang mana, ujian dalam kubur jauh lebih dahsyat daripada ujian dunia.

Kena ingat, lubuk ujian setiap insan berbeza-beza.
Ada orang, tinggi kedudukannya di sisi Allah dengan asbab amalan-amalan solehnya.
Ada orang, tinggi kedudukannya di sisi Allah dengan asbab ujian-ujian yang Allah hadiahkan untuknya.

Kita tak tahu dengan amalan / ujian mana yang menjadi asbab untuk kita terus dicintai Allah .
Bersangka baik dengan Allah walau hati kita terluka, kecewa.

Pandanglah semuanya dari Allah. Allah pengatur kehidupan terbaik untuk kita.

Kalau kita tak mampu nak hilangkan kesedihan dengan apa yang kita hadapi, ingatlah penderitaan saudara seMuslim kita yang  diseksa, dibunuh, dirogol, dibakar, ditembak, dicincang, dipancung.

InsyaALLAH, sedikit sebanyak hati kita terubat.




Nota hamba : Maqam redha lebih tinggi dari maqam sabar. Usaha ya sayang, untuk redha.
                      Allah tahu lubuk hatimu.

Bila aku imbas kembali kehidupan lalu, ternyata aku lebih banyak menangis,sedih berbanding senyum dan ketawa.
Dan kini, aku sudah mampu mengukir senyuman walau hati sering sedih.

Redha , mudah diungkap, namun payah untuk disemai.

Untuk insan-insan yang pernah aku temui di sepanjang laluan kehidupan , yang sering buat air mataku mengalir kesedihan , yang sering buat aku tidak redha dengan apa yang Allah uji, berbahagialah.
Aku redha dengan apa yang kalian lakukan.

Diam Atau Bicara

Bicara soal cinta, memang indah.

Tapi, untuk mendapat cinta sejati, sungguh payah.

Bukan semudah memetik jari

Tapi perlu berjalan , berlari, tersungkur bangun kembali dan akhirnya, tiba ke destinasi cinta.

Cinta sejati , cinta hakiki , cinta Ilahi.

Cinta sejati , cinta abadi, cinta seseorang yang akan menarik kita hingga ke firdausi.

Hakikatnya, untuk mendapat cinta Ilahi jauh lebih payah daripada mendapat cinta seseorang yang menarik kita ke firdausi.

C.I.N.T.A
Cinta = Ikut Nabi Taat Allah


_________________________________________________

Banyak perkara yang mengganggu fikiran saya sejak akhir-akhir ini.
Banyak juga isu yang timbul sejak akhir-akhir ini.

Saya suka menulis. Sangat cintakan penulisan. Ada sahaja ilham yang Allah beri untuk saya coretkan sesuatu.

Kegusaran melanda diri bila semua isu mahu diberi komentar sedangkan ilmu masih dangkal.

Saya berkira-kira mahu memadamkan blog ini dan menyepi dari dunia fb.
Sebab saya sering melakukan khilaf dalam penulisan.
Saya sering melakukan khilaf bila berbicara.

Saya sedar satu perkara, bukan semua prinsip dan apa yang kita pertahankan boleh dicanang-canang atau dikongsi bersama dengan orang lain.

Bukan semua orang boleh terima. Bukan!
Bahkan saya bimbang jika saya yang silap dalam prinsip saya sehingga boleh menimbulkan perbalahan.

Diam, ya lebih baik saya diam.
Diam, tapi jangan bisu.
Bicara hanya bila diminta.

Teringat pesan Ustaz Abdullah Khairi "depan orang alim, kita jangan banyak cakap, nanti makin menunjukkan kebodohan kita."

Dan, teringat saya dengan kata-kata hikmah, "bila seseorang berbicara semua yang diketahui, sebenarnya, dia jahil"

Allahurabbi.

Mohon tegur jika saya khilaf.
Tegurlah dengan berhikmah, bukan sindiran.

Saya, orangnya, sukakan kejujuran . Tegurlah walaupun kelihatan kasar kerna itu lebih mudah untuk saya terima berbanding terguran secara sindiran.

Sindiran, walau halus, tetapi bisa membuat jiwa yang mendengarnya sentap!

Asalnya, mahu menegur, tapi bila dengan cara sindiran, bukan mudah penerima nasihat mahu mendengar.

Sahabat-sahabat kita, berbeda sikapnya. Boleh dilihat bila kita minta mereka memberi komentar sesuatu masalah / isu.

Ada yang tegas, ada yang lembut , ada yang berhikmah.


Nota hamba : Saya masih belajar. Saya akui, saya ada khilaf.
Dah banyak kali saya cakap saya nak padam blog ni, tapi tak padam-padam.
Akan difikirkan lagi.

Imbas kembali.
waktu kecil dulu, saya sangat pendiam, low self esteem, sehinggakan seringkali dimarahi kerana diamnya saya.
Bila dah besar, saya suka juga bercakap, lebih-lebih lagi orang yang saya mudah mesra dengannya.
Bila bercakap pun, seringkali orang pertikai. Seringkali ada khilaf.

Saya jadi takut. Diam salah, cakap pun salah.
Pemikiran saya dan orang lain tidak sama.

Lebih baik saya memilih untuk diam sebab itu lebih menyelamatkan diri saya daripada bercakap yang salah.

Mungkin, Allah nak tarbiyah saya supaya mudah berlapang dada dengan pandangan orang lain.
Mungkin, Allah nak saya sedar , ilmu saya masih cetek
Mungkin, Allah nak saya sedar, diam itu banyak faedah daripada bercakap.
Mungkin, Allah nak saya sedar , bicara hanya bila perlu.

Saya punya reasons tersendiri kenapa saya lebih suka diam, dan kenapa kecil kecil dahulu saya pendiam.
Sebab, bila banyak cakap, beginilah jadinya.

Saya akan diam, tapi tidak bisu.

Selasa, 18 Mac 2014

Hidupkan Hidupmu.

Setiap makhluk yang bernama MANUSIA itu, jika hidupnya sunyi dari ujian, itu bermakna dia sudah mati.

Jangan mati sebelum mati. Hidup ini perlu kita beri nyawa dengan nyawa "iman".

Hidup ini penuh dengan warna. Kadang-kadang berwarna putih, kadang-kadang berwarna hitam.

Ya, hidup ini bagaikan roda. Ada turun naik. Boleh di analogikan seperti basikal. 

Basikal, bila dikayuh, baru akan bergerak dan kita yang mengayuh pun, akan boleh duduk dengan selesanya sehinggalah kita berasa penat, kita berhenti.

Sebaik sahaja berhenti, jika tidak ditongkat, kita dan basikal sama-sama jatuh.

Begitu juga dengan bumi. Bumi ini berputar dan beredar, dan selagi dia terus mengikut perintah Allah untuk terus berputar dan beredar, selagi itulah kita boleh tinggal di atas bumi ini. 

Jika Allah memerintahkan dia untuk berhenti, saat itulah, bumi akan hancur.

Begitu juga kehidupan. Ada graf turun naiknya, jika senada plotnya, bermakna kita telah tiada. 

Kalam Ustaz Pahrol Md.Juoi :Kadangkala ada suatu masalah yang Allah takdir dalam hidup ini bukan untuk diselesaikan, tetapi untuk kita hidup bersamanya. Itulah saluran kita merintih dan berdoa kepadaNya..sentiasa...

Ya, kalam itu membuatkan hati saya sebak, yang teramat . Sangat setuju. 

Saya tidak tahu apakah ini rasa hati saya sendiri atau tidak. Tetapi, membaca bait-bait kata Ustaz Pahrol, seringkali terasa tepat tertembak dengan keadaan diri ini. Terasa dekat di hati.

Saya yakin, dia menulis melalui hati, bukan tangan.

Dalam hidup ini, banyaklah berbicara dengan Allah. Indah . Manis .

Saya, bukanlah orang yang layak berbicara berkenaan kesufian kerna saya bukan ahli sufi.



Jauh di sudut hatiku


Mahu saja aku MENANGIS SEKUAT HATI

Aku SEDANG BERTARUNG dengan diriku sendiri

TAK MUDAH

Allah sahaja TAHU apa yang terbuku di hati

Aku masih berada di dalam LAUTAN KEKURANGAN

Kadangkala aku TERGELINCIR kerana

Jalan kehidupanku penuh dengan kenikmatan

MAAFKAN aku kerana kadangkalanya AKU KHILAF

Terlupa ke arah mana yang patut aku tuju

SEBAK HATI tatkala aku terbayang

Bilakah WAKTU TERAKHIRKU?

Di manakah TEMPAT TERAKHIRKU?

Siapakah ORANG YANG TERAKHIR berada denganku?

Dengan CARA APAKAH aku mengakhiri cerita hidupku? 



Wahai Allah, dosa-dosaku, kesalahan-kesalahanku, aib-aibku terlalu banyak .
Tapi, Maha Baiknya diriMu, Engkau tidak pernah membuka aib hamba-hambaNya.

Bantu aku untuk terus menuju cintaMu, walau sebenarnya, aku lebih banyak terjatuh !
Bantu aku untuk bangun, berlari menuju diriMu.

Saat Itu .

20 Jamadilawwal 1435 H, Sabtu ini, genaplah usiaku 24 tahun.

24 tahun. Tapi , apa yang telah aku lakukan sepanjang Allah izinkan aku hidup atas muka bumi ini?

Jika Allah membuka segala aibku, nescaya TIDAK akan ada seorang pun yang sudi mendekatiku.

Saat kematian menjemput, bagaimana keadaan diri ? Husnul khatimah kah ? Atau suul khatimah ?

Saat dimandikan , harum atau busukkah jenazahku?

Saat dibawa ke kuburan , ringan atau beratkah jenazahku ?

Saat dimasukkan ke liang lahad, sempit atau luaskah kuburanku?

Saat didalam kubur, gelap atau terangkah kuburanku ?

Taman syurga, atau lubang nerakakah kuburanku?

Ketika berhadapan dengan Allah di sana nanti , apa amalan yang akan aku persembahkan ?

Aku banyak tertipu dengan dunia !

Masihkah aku punya masa untuk bertaubat ?

"Aku yakin Allah Maha Pengampun ."



Aku mohon pada sahabat-sahabat yang membaca blog aku , andai satu hari nanti Allah ambil nyawaku , sedekahkan Al-Fatihah untukku . Aku mengharapkan doa dari sahabat sahabiah yang soleh solehah .

Terima kasih sudi berukhuwwah denganku walau aku terlalu banyak kekurangan.

Maaf jika sepanjang aku bersahabat dengan kalian, aku tidak mampu menjadikan kalian mengingati Allah saat memandang wajahku.

Wahai Allah , terima kasih atas rasa-rasa keinsafan yang Allah kurniakan.

Rahmat dan RedhaMu, sangat aku harapkan .

Moga bertemu di syurga, tapi layakkah aku ?

"Aku seorang mujahidah, bermujahadah di jalanNya, sehingga saat aku kembali kepada Dia"



Nota hamba : "Bintang Hatiku" .




Isnin, 3 Mac 2014

Diri Ini, Dia Mengerti.

Adakala aku ingin menyendiri .

Adakala aku ingin membisu .

Adakala aku ingin lari .

Kerna terkadang rasa hatiku , aku bukan siapa - siapa.

Ada atau tidak aku, sama sahaja .


Di sini , aku ditarbiyah oleh Allah secara langsung . Allah mendidik aku agar untuk bergantung harap sepenuhnya hanya pada Dia , bukan manusia.

Memang perit saat aku melihat insan-insan lain yang gembira , bercerita sama teman-teman . Sedang aku menahan rasa hiba sendirian . Kerapkali dadaku sebak , tubir kolam mataku digenangi air. Menunggu saat untuk pecah .

Nah, semalam ! Akhirnya pecah empangannya . Aku sudah tidak mampu menahan .

Biarkan aku sendirian , kerna kini aku yang memilih untuk sebegitu.

Tersenyum aku saat seorang teman kelasku memberitahu " ingatkan Aira ok je, sebab nampak macam ni..."
(nampak macam ni , yang bermaksud, bertudung labuh , kelihatan tenang seperti tidak ada masalah )

Kalaulah boleh saja aku bercerita apa yang aku alami , nescaya tidak ada manisnya saat aku mengadu pada Dia.

Aku, keadaanku, hanya Dia mengerti.

"Ya Allah, sebenarnya , Aira penat . Aira nak berehat ."

Rindunya aku pada seorang abah , rindunya aku pada seorang emak , rindunya aku pada kaklong, dan dua orang adik perempuanku. Ya, setelah Allah dan Rasul, keluarga adalah insan-insan yang paling aku cintai kerna merekalah anugerah terindah buat diri ini.




# Rasa ingin memadam akaun FB yang sedia ada, tapi aku khuatir aku akan terlepas banyak info semasa , aku terlepas banyak update tentang sahabat-sahabat . Aku tidak punya laman sosial yang lain selain FB dan blog. Dulu, pernah punya Friendster, tapi tak sempat nak explore akhirnya, terbiar begitu sahaja . Pernah punya akaun Al-Wahy, pernah punya Yahoo Messenger , pernah punya Spring.me tapi semuanya sudah kupadam.

Kerna, padaku cukuplah dengan Facebook sahaja walaupun zaman ini hampir semua orang mempunyai Twitter, WeChat, Instagram, Whassap dan banyak lagi laman sosial yang akan tumbuh bagaikan cendawan.

Dan, aku terfikir , andai aku menyepi , adakah insan yang bertanyakan tentangku ?

Ingin aku rakamkan kisah kehidupanku dalam sebuah catatan , agar mereka yang membaca sedar , bukan mudah menjadi seorang Azaira . Dalam keramahan aku meluah, aku juga lebih gemar memendam .


 

احفظ الله يحفظك Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger